Thursday, April 21, 2011

Keberkesanan Sekolah

1.0 Pendahuluan

Dewasa ini, profesion perguruan sering mendapat perhatian masyarakat kerana peranannya yang begitu signifikan dalam membentuk generasi akan datang. Ini bermakna profesion perguruan yang berkualiti mampu menjana dan mengubah paradigma serta perilaku mereka. Lantaran itu, profesion perguruan yang mantap dan berkesan perlu diwujudkan agar aspirasi untuk memartabatkannya bukan sekadar fatamorgana malahan merupakan suatu realiti. Sesungguhnya, kita patut mengakui keperluan tahap pendidikan yang berkualiti semakin ketara. Desakan daripada perubahan dalam pembentukan tamadun yang semakin canggih menjadi asas berlakuknya fenomena ini. Guru-guru seharusnya sedar akan hakikat tuntutan itu dan bersedia menyahut cabaran-cabaran ke arah memartabatkan profesion perguruan di negara ini.

Di sinilah, letaknya peranan dan kecemerlangan guru dalam memastikan kecemerlangan pelajar dalam sesebuah institusi pendidikan. Condoli (1999). Satu fasa dalam proses pentadbiran sekolah yang menekankan kepada pencapaian matlamat pengajaran. Dengan itu, penyeliaan pengajaran menjadi salah satu daripada tugas dan tanggungjawab pihak pentadbiran sekolah dan penyeliaan menjadi satu dimensi pentadbiran sekolah (Bruce, 2000). Justeru, penyeliaan oleh pihak pengurusan sekolah amat perlu dalam memastikan kecemerlangan kerja guru secara berterusan. Penyeliaan akan dapat membantu guru menyelaraskan aktiviti pengajaran dan merangsang guru untuk mencapai prestasi kerja yang cemerlang. Secara tidak langsung penyeliaan turut membantu guru membina kemahiran dalam perancangan pengajaran dan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Hakikatnya, penyeliaan secara berterusan dapat meningkatkan kualiti pengajaran guru dan memperbaiki kelemahan guru dalam proses pengajaran..

2.0 Keberkesanan sekolah

Menurut Druker (1985) dalam Hussien Mahmood (1997) dalam bukunya The Effective Executive mengatakan:

Effectiveness in what the executive are being paid for, whether they work as managers who are responsible for the performance of others as well as their own, or as individual professional contributors responsible for their own performance only.

(hlm. viii)

Maksudnya keberkesanan sesebuah organisasi adalah tanggungjawab seorang eksekutif. Di dalam sekolah, pengetua bertanggungjawab terhadap prestasinya sendiri, guru, pelajar serta staf-staf lain. Kepimpinan pengetua yang dinamik dan bersungguh-sungguh dikenalpasti sebagai satu pembolehubah yang dikatakan membawa kejayaan kepada sesebuah sekolah. Edmonds (1979) dalam Hussien Mahmood (1997) menegaskan bahawa pengetua yang berkesan ialah pengetua yang memainkan peranannya sebagai pemimpin pengajaran dan pemimpin yang tegas.

Menurut Sergiovanni (1994), terdapat lima peranan yang perlu dimainkan oleh pengetua sebagai syarat kecemerlangan sekolah iaitu:

i. Jurutera pengurusan

Mempunyai teknik pengurusan yang cekap dan mahir dalam memanipulasikan strategi dan keadaan demi untuk menjamin keberkesanan maksimum dalam aspek perancangan, pengelolaan, penjadualan dan penyelarasan.

ii. Pemimpin manusia

Pengetua sewajarnya mahir dan cekap dalam perhubungan interpersonal, membina dan mengekalkan moral yang tinggi dalam kalangan staf serta menggalakkan inovasi dan kreativiti di samping memberi sokongan kepada staf. Ini ialah langkah untuk melibatkan staf dalam membuat keputusan bersama.

iii. Pemimpin pendidikan

Pengetua memainkan peranan sebagai clinical practioner, iaitu menyumbang kepakaran dalam bidang pendidikan dan persekolahan. Perlu mahir dalam bidang kokurikulum, diagnosis keperluan pelajar, penilaian dan penyeliaan atau pencerapan berkesan yang dikenali juga sebagai pemimpin pengajaran.

iv. Pemimpin simbolik

Memainkan peranan sebagai penghulu yang memberi isyarat tentang nilai dan kepentingan atau tujuan sesuatu perkara yang hendak dicapai. Kepimpinan seperti ini termasuklah melawat ke bilik darjah dan kawasan sekolah, mengetuai upacara rasmi di sekolah, di samping mengenali pelajar dengan lebih dekat. Pengetua jenis ini mempunyai wawasan yang hendak disampaikan kepada staf dan pelajar dan sering menjadi perhatian di sekolah.

v. Pemimpin budaya

Pengetua menjalankan peranan ini dilihat menerusi usaha-usahanya mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang menjadikan sebuah sekolah yang unik. Pemimpin jenis ini akan mengadakan aktiviti sosialisasi guru dan pelajar dengan budaya sekolah dengan melibatkan usaha untuk menarik perhatian setiap guru dan pelajar di sekolah dan orang lain juga terhadap pencapaian matlamat sekolah.

Manakala Geltner (1981) dalam Hussien Mahmood (1997), terdapat lima peranan pengetua yang dikaitkan dengan keberkesanan sekolah iaitu:

i. Pengetua sebagai ahli falsafah pendidikan

Guru menganggap pengetua sebagai orang penting dalam kehidupan mereka di sekolah. Dia menyampaikan dan menjelaskan apa yang dipercayai tentang matlamat dan tujuan tugasan mereka. Guru tahu dan berkongsi apa yang dipercayai oleh pengetuanya, serta turut memberi sokongan. Kerja-kerja di sekolah dapat dijalankan dengan berkesan serta memberi erti melalui perpaduan yang wujud dalam kalangan guru.

ii. Pengetua sebagai model pendidikan

Pengetua dianggap oleh guru sebagai model yang mengubah tingkah laku guru. Pengetua menunjukkan contoh dan teladan dengan memainkan peranan sebagai role model.

iii. Pengetua sebagai penyokong pendidikan

Guru menganggap pengetua sebagai sumber untuk mendapatkan sokongan. Sokongan daripada pengetua itu memberi kesan yang mendalam kepadanya dan dalam bidang profesionalisme mereka. Pengalaman ini diperolehi sejak mula bertugas dan sentiasa kekal dan diperkukuhkan.

iv. Pengetua sebagai rakan sependidikan (educational partner)

Pengetua dianggap sebagai rakan seperjawatannya oleh guru dalam hubungannya dengan pelajar dan ibu bapa. Pengetua ini berpengetahuan luas dalam program secara kolektif untuk mencapai matlamat pengajaran.

v. Pengetua sebagai orang yang memulakan perubahan pendidikan (educational innovator)

Pengetua dilihat oleh guru sebagai penentu utama dalam pelaksanaan inovasi di sekolah. Punca perubahan di sekolah wujud hasil sumbangan tenaga antara pengetua dan guru. Guru merasakan bahawa mereka terlibat terus dalam membuat keputusan tentang perkembangannya dan refomasi pengajaran di sekolah.

3.0 Proses pengajaran

Pengajaran dalam pengertian yang paling umum tetapi bermakna menggunakan “teaching makes a difference to the students and to the future”. Menurut Moody and Gardner (2004), seorang guru itu mengajar kerana ia percaya bahawa apa yang dilakukannya itu adalah bermakna bukan sahaja kepada dirinya, para pelajarnya tetapi juga kepada masa depan generasinya.

Pengajaran dalam konteks ini dilihat sebagai satu usaha untuk membantu para pelajar dalam memperolehi atau mengubah kemahiran, pengetahuan, sikap, persepsi atau penghargaan (Clark & Starr, 1986). Bukan itu sahaja, malah pengajaran juga melibatkan suatu usaha ke arah membantu atau membentuk pertumbuhan seseorang (Bruner, 1966).

Pengajaran juga memberi peluang kepada individu untuk merangkul pengalaman pembelajaran yang tiada batasan. Satu pengalaman tentang bagaimana idea dan emosi berinteraksi dengan persekitaran dan akhirnya mengalami satu proses transformasi dalam kitaran tanpa henti dan bersifat infiniti (Joyce, Well & Calthoun, 2004).

Proses pengajaran melibatkan empat elemen utama iaitu objektif pengajaran, pengetahuan sedia ada, kaedah pengajaran dan penilaian pencapaian (Glaser, 1968). Kesemua elemen ini perlu berinteraksi dan saling mempengaruhi antara satu sama lain bagi menghasilkan satu pengajaran yang berkesan. Di mana salah satu cara untuk mendapatkan kaedah pengajaran berkesan adalah melalui penyeliaan secara berterusan untuk proses penambahbaikan dalam pengajaran dan pembelajaran.

4.0 Pengertian penyeliaan pengajaran

Penyeliaan adalah segala tindakan dan perlakuan yang dirancang untuk mempengaruhi tingkah laku pengajaran guru. Ia dilakukan untuk memastikan guru pelatih melaksanakan tugas seperti yang telah ditentukan dan untuk mengesan kekuatan dan kelemahan guru Abdul Rahim (2001 ). Mengikut pengertian dalam kamus-kamus, bimbingan ertinya membantu, memimpin, memberi nasihat dan kerjasama. Bimbingan ini pula dilaksanakan dalam konteks penyeliaan. Menyelia pula membawa erti melihat, menjaga, mengawas dan mengawal (Hazil, 2004).

Penyeliaan adalah satu proses yang sesuai di mana ia melibatkan hubungan antara individu dan kerjasama antara guru dengan penyelia mahupun dengan guru pembimbing. Ia merupakan khidmat bantuan kepada guru ke arah menyediakan suasana dan keadaan pengajaran guru yang berkesan. Penyeliaan juga boleh dikatakan satu set kegiatan yang dirancang dan direka bentuk untuk meningkatkan pembelajaran pengajaran. Sebagai satu profesion yang kian mencapai kematangan, penyeliaan pendidikan seharusnya dapat mengenalpasti prinsip dan rasional yang menjadi pegangannya. Falsafah yang mantap akan menjamin tahap profesionalisme yang tinggi, menjamin ketekalan amalan dan tatacara beroperasi, menjamin kepuasan pengamal dan pelanggan,serta menaikkan imej dan martabat profesion penyeliaan.

Menurut Hazil (2004), dalam usaha guru pembimbing membimbing guru-guru pelatih semasa menyelia mereka dalam latihan mengajar, guru pembimbing perlu melatih guru pelatih sampai ke taraf boleh mengarah diri mereka melalui:

i. Suasana dalam mana guru pelatih bebas memberi rangsangan secara kreatif.

ii. Peluang untuk berfikir, membuat keputusan, menemui kecenderungan guru pelatih itu sendiri.

iii. Bimbingan yang mencukupi untuk membina teknik dan prosedur sendiri berasaskan pengetahuan bagaimana pembelajaran berlaku

iv. Pengalaman yang berterusan yang boleh menghasilkan sikap mengarahkan diri.

5.0 Konsep penyeliaan pengajaran

Menurut Abdul Aziz (2000), konsep penyeliaan adalah seperti yang berikut:-

i. Penyeliaan pengajaran ialah segala tindakan atau perlakuan yang dirancang untuk mempengaruhi tingkah laku pengajaran guru. Ia dilakukan sama ada untuk memastikan guru melaksanakan tugasnya seperti yang telah ditentukan atau untuk mengesani kekuatan atau kelemahan guru dan dengan itu dapat menganalisis dan memperbaiki mutu pengajaran guru.

ii. Penyeliaan juga adalah satu proses sosial yang melibatkan hubungan antara individu dan kerjasama antara guru dan penyelia. Ia merupakan khidmat bantuan kepada guru pelatih ke arah menyediakan suasana dan keadaan pengajaran yang berkesan.

iii. Penyeliaan boleh juga dikatakan sebagai satu set kegiatan yang dirancang dan direkabentuk untuk meningkatkan pembelajaran pengajaran dan memaksimumkan manfaat pengalaman pembelajaran murid.

6.0 Objektif Penyeliaan

Melalui Buku Penilaian Latihan Mengajar Dalam Program Pendidikan Guru Di Malaysia (2005). Objektif penyeliaan latihan mengajar adalah untuk memperkembangkan potensi guru dalam segala hal yang berkaitan dengan profesion perguruan.

i. Memberi bimbingan ke arah perkembangan sahsiah, ketahanan diri dan nilai-nilai sesuai dengan profesion perguruan.

ii. Menilai prestasi guru pelatih semasa menjalani latihan mengajar. Perlu diingat bahawa objektif akhir penyeliaan pengajaran ialah untuk memaksimumkan manfaat pengalaman pembelajaran murid. Walaupun penyelia tidak berinteraksi secara langsung dengan murid, tetapi hasil proses penyeliaan adalah untuk memberi faedah kepada pembelajaran murid.

Menurut Mohd. Salleh Lebar (2000) menyatakan bahawa penyeliaan dalam konteks pendidikan ialah berkaitan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ia menjadi tugas pentadbir kerana penyelia adalah sebahagian dimensi pentadbiran sekolah dan dianggap sebagai satu perkembangan bidang profesional pengurusan. Keberkesanan kurikulum di sekolah memerlukan penyeliaan yang rapi lagi sistematik daripada pengetua. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran terhadap guru dalam kelas sepatutnya menjadi perkara yang diutamakan dalam senarai tugas dan tanggungjawab pengetua

7.0 Tujuan Penyeliaan

Selaras dengan definisi penyeliaan dalam konteks pendidikan di atas bertujuan umum pemantauan dan penyeliaan kurikulum dilaksanakan ialah untuk memastikan segala objektif, matlamat dan dasar pendidikan negara dicapai dan kualiti sistem pendidikan negara ditingkatkan secara berterusan. .Menurut Fry (2003), tujuan penyeliaan membantu guru serta memberi motivasi, mengalak dan menasihat pelajar merupakan satu daripada fungsi utama pendidik pada mana-mana tahap pun, termasuk peringkat pendidikan tinggi. Pengalaman menunjukkan perkara ini tidaklah mudah dilakukan seperti yang jelas daripada kenyataan berikut:

Perhaps the best way to motivate students is to develop a good rapport with the class to fire them with your enthusiasm and persuade them of the interest and importance of your subject – not easy. It is sometimes possible to improve the motivation of students by choosing examples relevant to their interests, taking advantage of any topical issues or events involving you subject, and relating your material to the rest of their programme. Repeated reference to the examination helps too.

Satu lagi peranan penting penyelia adalah melihat dengan lebih dekat lagi dengan sebenarnya apa yang berlaku dalam bilik darjah agar kelemahan-kelemahan dapat diperbaiki dan amalan-amalan yang baik dapat dikukuhkan. Selain sebagai memberi tunjuk ajar termasuk mengarahkan pelajar kepada sumber yang relevan, mencungkil dan memperkembangkan bakat dan kebolehan pelajar, mengesan kekuatan dan kelemahan, membetulkan kesalahan pelajar dengan serta-merta dan memberi penghargaan kepada hasil kerja yang baik. Berdasarkan peranan di atas, beberapa jenis kemahiran yang diperlukan bagi penyeliaan walaupun kemahiran tersebut umumnya(lebih-lebih lagi pada peringkat pendidikan tinggi) diperoleh on the job, bukan semasa program persediaan professional dan internship (Auzait Shamsudin, 2007 ).

Mengikut pekeliling, Bil 3/1987 KP (BS) 8591/Jld 11(77) bertarikh 11 November 1987, yang bertajuk ‘Penyeliaan Pengajaran-Pembelajaran Dalam Kelas Oleh Pengetua/Guru Besar’ dikehendaki melaksanakan penyeliaan secara rapi dan sistematik untuk mempastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum dan ko-kurikulum di sekolahnya . Dengan penyelian yang bersistematik akan memberi maklum balas kepada guru tentang status quo pengajarannya dalam memperbaiki tahap pengajaran dan pembelajaran guru dalam bilik darjah. Secara tidak langsung ianya akan menjadi satu alat menilai prestasi serta kemahiran mengajar guru.

8.0 Prinsip Perlaksanaan

Sebagai pemimpin profesional di sekolahnya tanggungjawab pengetua memastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum di sekolahnya perlu dijalankan melalui proses dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Keberkesanan kurikulum di sekolah memerlukan penyeliaan yang rapi lagi sistematik daripada pengetua. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran terhadap guru dalam kelas sepatutnya menjadi perkara yang diutamakan dalam senarai tugas dan tanggungjawab pengetua. Prinsip penyeliaan ialah ;

i. Penyeliaan pengajaran-pembelajaran di kelas hendaklah dijalankan oleh Pengetua atau Guru Besar ke atas semua guru .

ii. Rekod penyeliaan pengajaran-pembelajaran di kelas hendaklah dicatit dengan ringkas dan tepat.

iii. Penyeliaan pengajaran-pembelajaran hendaklah dirancang dengan seimbang dari segi masa, mata pelajaran, tingkatan/tahun dan guru.

iv. Tugas penyeliaan ini boleh dijalankan dengan bantuan penolong kanan dan penyelia petang. Walau bagaimanapun tanggungjawab sepenuhnya terletak di tangan Pengetua/Guru Besar.

v. Penyeliaan pengajaran-pembelajaran di kelas hendaklah dijalankan secara sistematik dan berlandaskan hubungan profesionalisme dengan guru-guru dan bukan untuk mencari kesalahan. Dalam usaha mempertingkatkan prestasi pengajaran-pembelajaran di kelas, Pengetua/Guru Besar perlu mendapat maklumat yang tertentu. Maklumat-maklumat itu dapat digunakan oleh Pengetua/Guru Besar sebagai asas perbincangan dengan guru-guru.

9.0 Kepentingan budaya sekolah bagi kepimpinan pengajaran

Cabaran yang perlu dihadapi oleh sekolah bagi membantu untuk membangunkan pelajar dengan pendidikan yang bermutu dan versatile daripada sebelumnya. Graham(1991) mencadangkan, tidak selamanya kanak-kanak melalui pendidikan yang lemah kurikulumnya. Bagi menghasilkan pelajar yang menepati kompetensi yang bersesuai dengan “Tiada kanak-kanak yang ketinggalan” (NCLB- No Child Left Behind) daripada mendapat pendidikan yang bermutu, ia berfokuskan kepada akauntabiliti sekolah kini ialah kanak-kanak boleh bukan hanya untuk mendapatkan pendidikan di dalam bilik darjah tetapi sekolah hendaklah memenuhi keperluan mereka. Berpandukan kepada akauntabiliti sekolah yang semakin serius, peningkatan sekolah dalam komuniti berfokus kepada pendidik-pendidik profesional. Beberapa strategi dan program telah dilaksanakan bagi meningkat mutu sekolah. Perkara yang sangat penting yang perlu diberi perhatian ialah pemimpin sekolah, di mana menurut Rakiz dan Swanson(1996), pengetua (pemimpin sekolah) merupakan komponen penting bagi meningkatkan sesebuah sekolah.

Smith dan Andrews (1989), mencadangkan sepuluh keperluan pengetua untuk menunjukkan kepimpinan pengajaran yang berkesan iaitu:

i. Meletakkan kurikulum dan pengajaran sebagai isu utama.

ii. Berdedikasi kepada matlamat sekolah.

iii. Berkemampuan menyatukan dan menggerakkan sumber bagi pencapaian matlamat sekolah.

iv. Mencipta budaya bagi dan harapan tinggi kepada sekolah, menghormati guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti.

v. Berfungsi sebagai ketua dalam melibatkan arahan dan polisi pengajaran.

vi. Memantau secara berterusan kemajuan pelajar terhadap pencapaian sekolah dan keberkesanan guru.

vii. Menunjukkan komitmen terhadap matlamat akademik, berupaya membangun dan menyatakan dengan jelas visi atau matlamat jangka panjang sekolah.

viii. Berunding secara berkesan dengan guru-guru dan pihak lain yang berkepentingan dengan dalam proses membuat keputusan.

ix. Keberkesanan dalam menggerakkan sumber seperti bahan, masa dan sokongan yang membolehkan sekolah dan kakitangan untuk mencapai matlamat sekolah secara lebih berkesan.

x. Mengenalpasti masalah kekurangan masa dan mencipta arahan dan disiplin bagi meminimumkan sebarang masalah proses pembelajaran.

Manakala McEwans (2002) mencadangkan tujuh langkah tingkah laku kepimpinan pengajaran iaitu:

Langkah Satu

i. Melibatkan guru-guru dalam pembangunan dan pelaksanaan matlamat dan objektif pengajaran di sekolah.

ii. Bekerjasama dalam merekabentuk sistem kurikulum dalam pembangunan program pengajaran.

iii. Memastikan aktiviti sekolah dan bilik darjah adalah konsisten dengan matlamat dan objektif pengajaran.

iv. Menilai perkembangan terhadap matlamat dan objektif pengajaran

v. Bekerja dengan guru-guru meningkatkan program pengajaran dalam bilik darjah yang konsisten dengan keperluan pelajar.

vi. Program pembangunan pengajaran adalah berasaskan penyelidikan dan amalan terbaik yang dikenalpasti

vii. Menggunakan format prosedur yang bersesuai dalam menilai program pengajaran.

Langkah Dua

i. Menubuhkan kelas inklusif yang menyampaikan mesej semua pelajar belajar.

ii. Menyediakan peluang pembelajaran tambahan bagi pelajar yang memerlukan.

iii. Memantau dan mengukuhkan tingkah laku positif guru dalam bilik darjah bagi memastikan iklim dan kehendak akademik dan teratur, pengurusan bilik darjah yang baik.

iv. Menyampaikan mesej kepada pelajar dalam pelbagai cara bahawa mereka akan berjaya.

v. Memperkukuhkan polisi terhadap perkaitan perkembangan pelajar dengan perkembangan dan penahanan/peningkatan pelajar.

Langkah Tiga

i. Memberikan harapan yang tinggi terhadap pencapaian pelajar dengan berkomunikasi secara terus dengan pelajar, guru dan ibu bapa.

ii. Mengadakan peraturan dan harapan yang jelas dengan menggunakan masa sebaiknya dalam mengajar dan memantau keberkesanan penggunaan masa di bilik darjah.

iii. Mengadakan, melaksanakan dan menilai prosedur dan kod guru dan pelajar dalam menangani dan memperbetulkan masalah disiplin.

Langkah Empat

i. Menyediakan komunikasi dua hala dengan kakitangan berdasarkan objektif yang sedang berjalan dan matlamat sekolah.

ii. Memperkukuhkan, menyokong dan melaksanakan aktiviti dan berkomunikasi dengan pelajar tentang nilai dan makna belajar.

iii. Membangunkan dan mempergunakan cara-cara komunikasi tentang harapan ibu bapa tujuan penubuhan dan objektif sekolah.

Langkah Lima

i. Membantu guru menetapkan dan mencapai matlamat peribadi dan professional berkaitan dengan penambahbaikan pengajaran sekolah dan memantau dan melengkapkan kejayaan sesuatu matlamat.

ii. Kerap membuat pemantauan di dalam bilik darjah sama ada secara formal atau tidak formal.

iii. Terlibat dalam pra-perancangan pemerhatian bilik darjah.

iv. Terlibat dalam perbincangan selepas pemerhatian yang memberi fokus terhadap menambahbaikan pengajaran.

v. Menyempurnakan, mempertahankan dan pemahaman terhadap penilaian, membuat cadangan terhadap pertumbuhan matlamat peribadi dan profesionalisme berdasarkan keperluan individu.

vi. Membantu pengajaran guru dalam bilik darjah.

Langkah Enam

i. Membuat jadual perancangan dan mengadakan perjumpaan untuk semua peringkat (merancang, penyelesaian masalah, membuat keputusan atau latihan dalam perkhidmatan) dalam kalangan guru berdasarkan isu pengajaran.

ii. Menyediakan peluang dan latihan secara kolaborasi, perkongsian dalam membuat keputusan, kejurulatihan, menasihati, pembangunan kurikulum dan membuat pembentangan.

iii. Menyediakan motivasi dan sumber kepada guru-guru untuk membantu aktiviti pertumbuhan professional.

Langkah Tujuh

i. Menjadi peguambela pelajar-pelajar dan berkomunikasi dengan mereka berdasarkan aspek kehidupan di sekolah.

ii. Menggalakkan komunikasi terbuka dalam kalangan kakitangan dan mengekalkan rasa hormat dalam perbezaan pendapat.

iii. Menunjukkan rasa ambil berat dan keterbukaan dalam membuat pertimbangan terhadap pelajar, guru dan masalah ibu bapa dan turut serta dalam membuat keputusan dalam masalah mereka jika bersesuaian.

iv. Menggunakan model kemahiran hubungan manusia.

v. Membangunkan dan mengekal ketinggian moral.

vi. Mengumpul data secara sistematik dan memberi maklum balas terhadap kebimbangan kakitangan, pelajar dan ibu bapa.

vii. Membuat penghargaan yang sesuai terhadap pencapaian orang lain.

Pemimpin sekolah merupakan faktor penting bagi mewujudkan sekolah berkesan. Dengan karisma, keperibadian, bakat dan kemahiran dan kebolehan mereka akan dapat membimbing dan membawa semua warga sekolah ke arah suatu matlamat iaitu kecemerlangan pendidikan. Sebagai pemimpin utama di sekolah mereka berkemampuan mempengaruhi semua guru dan pelajar untuk melaksanakan program dan aktiviti yang telah dirancang untuk mencapai matlamat dan objektif sekolah. Oleh itu sebagai pemimpin mereka seharusnya sentiasa berusaha dan belajar mempertingkatkan kualiti kepimpinan mereka.

10.0 Kesan penyeliaan terhadap pengajaran dan tingkah laku guru

Guru yang berkesan akan sentiasa cuba meningkatkan kaedah pengajaran berkesan bagi memastikan pelajar-pelajarnya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tetapi yang lebih penting lagi dapat mengaplikasi kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi dalam kehidupan seharian mereka. Ciri-ciri yang dikenalpasti dapat meningkatkan pengajaran berkesan ialah:

10.1 Penyediaan pembelajaran yang berstruktur

Sekolah-sekolah yang berkesan kebiasaannya telah menyediakan aktiviti pembelajaran pelajar secara terperinci sepanjang tahun. Guru-guru akan menyediakan sukatan pelajaran, rancangan pelajaran, rancangan mingguan, rancangan harian dan aktiviti pembelajaran yang akan dilakukan oleh pelajar. Proses pembelajaran ini akan dilaksanakan mengikut tahap kebolehan pelajar walaupun pelajar berada dalam tahun dan tingkatan yang sama tetapi aktiviti pembelajaran pelajar akan berlainan. Dengan cara ini pelajar yang kurang berkebolehan tidak akan ketinggalan dalam pembelajaran mereka. Sementara pelajar yang pintar boleh terus menguasai ilmu. Guru-guru akan memastikan semua pelajar mendapat perhatian dan layanan walaupun kebolehan mereka berbeza. Semua pelajar akan berasa gembira berada di sekolah kerana mereka diberikan layanan yang sama dan boleh maju dalam pembelajaran mereka.

10.2 Tahap keintelektualan guru

Kualiti guru yang mempunyai keintelektualan yang tinggi adalah factor penting bagi meningkatkan kejayaan pelajar. Gaya dan isi komunikasi yang berbentuk higher-orderly akan menggalakkan pelajar menggunakan imaginasi yang kreatif dan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah. Sementara guru yang kurang berkemahiran dalam menyampaikan ilmu akan menjadikan pelajar mereka kurang keupayaan untuk menguasai pengetahuan. Dengan kata lain, tahap yang tinggi komunikasi dan keintelektualan guru akan memainkan peranan penting dalam mencabar minda pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan. Oleh itu, pihak pengurusan di sekolah hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap professional guru supaya mereka melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

10.3 Menekankan fungsi guru

Tugas utama guru di sekolah ialah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar. Penyampaian ilmu bukan sahaja berlaku di bilik-bilik darjah tetapi juga di luar bilik darjah. Oleh itu, guru perlu menghabiskan banyak masa mereka dengan pelajar. Pelajar akan merasa gembira sekiranya guru sering berdampingan dengan mereka sama ada di padang permainan, di kantin atau di kawasan-kawasan lain. Tahap pelanggaran disiplin pelajar akan berkurangan sekiranya guru-guru sering berada bersama-sama pelajar mereka. Hubungan yang rapat antara guru dengan pelajar akan memberi banyak kesan yang positif terhadap pembelajaran pelajar. Semua warga guru hendaklah digalakkan agar sentiasa kelihatan berdampingan dengan pelajar walaupun di luar bilik darjah.

10.4 Persekitaran positif

Hukuman secara fizikal kurang digunakan, banyak kata-kata penghargaan dan ganjaran pelbagai bentuk diberikan kepada pelajar. Guru-guru mengawal aktiviti pelajar. Pengurusan bilik darjah dijalankan dengan tegas tetapi adil. Sikap positif guru kepada pelajar sangat penting, guru mestilah sentiasa kelihatan gembira melaksanakan tugas pengajaran dan semasa berkomunikasi dengan pelajar. Mereka mestilah berminat dengan kanak-kanak dan sentiasa berinteraksi dengan pelajar walaupun di luar waktu mengajar.

Peranan pemimpin sekolah sangat penting bagi mewujudkan sekolah berkesan. Bekerja secara berpasukan dan berkongsi peranan dengan guru-guru boleh menyumbang ke arah kejayaan. Suasana kondusif dan ceria boleh menjadikan sekolah sebagai tempat atau pusat kecemerlangan pendidikan.

11.0 Faktor Kejayaan Penyeliaan Berkesan - Gaya Kepimpinan

Bagi mencapai tahap penyeliaan yang berkesan juga, maka penguasaan pengetahuan dan kemahiran teknikal khusus dalam bidang kurikulum pengajaran, pengesanan dan penilaian serta juga hubungan manusia adalah penting dalam memastikan kecekapan penyeliaan oleh pemimpin sekolah.

Menurut Kimbrough dan Nunnery (1976), bagi memastikan lagi kecekapan penyeliaan, maka kemahiran konseptual iaitu keupayaan memahami unsur-unsur kompleks dalam sesebuah organisasi sekolah serta dapat melihatnya secara keseluruhannya adalah penting. Kemahiran ini bertujuan untuk membolehkan pengetua dapat mengkaji dan menilai matlamat sekolah dan kaitan dengan fungsinya serta dapat mengaitkan kemudahan-kemudahan fizikal dan staf yang ada dalam usaha untuk mencapai objektif keseluruhan organisasi sekolah itu dan perkembangan sekolah seterusnya.

Selain kemahiran konseptual, kemahiran dalam hubungan kemanusiaan juga adalah penting untuk seseorang pengetua menjayakan peranan penyeliaannya. Mengikut Owens (1990), kebolehan dan kemahiran yang diperolehi seseorang pengetua dalam menyempurnakan sesuatu tugas adalah melalui kakitangannya. Semua ini berkaitan dengan kefahaman mengenai motivasi manusia serta pengalaman stail kepimpinan yang sesuai lagi berkesan. Hoy dan Forsyth (1986: 65) mendefinisikan kemahiran kemanusiaan ialah kebolehan dan keupayaan menggunakan sumber tenaga manusia dengan bijaksana melalui dorongan dan sifat-sifat kepimpinan yang berkesan.

Dalam konteks ini, sekiranya seseorang pemimpin sekolah tidak menunjukkan hubungan yang baik dengan staf, maka adalah sukar untuk sekolah mencapai kemajuan. Guru-guru pasti tidak seronok untuk mengajar dan yang menjadi mangsanya pastilah anak murid. Sebab itulah dalam menjayakan peranan penyeliaannya, seseorang pengetua atau guru besar tidak boleh hanya menunggu untuk mencapai apa yang ditentukan kepada sekolah dan diri mereka sahaja tetapi juga mencari jalan dan sumber yang baru untuk memberi kekuatan dalaman bagi menyokong staf mereka. Sarasson, S. (1971).

Di samping itu, seseorang pengetua atau guru besar yang mahu berjaya dalam tugas penyeliaannya juga perlu mempunyai kemahiran teknikal. Yulk (1994) berpendapat kemahiran teknikal ialah kebolehan dan keupayaan seseorang untuk menggunakan ilmu pengetahuan, kaedah, teknik serta alat-alat yang sesuai untuk melaksanakan satu-satu tugas tertentu selaras dengan pelajaran, latihan dan pengalaman yang diperolehi olehnya. Kemahiran teknikal juga meliputi kemahiran penilaian dan perancangan, pengkajian dan penilaian pengajaran.

Dalam konteks pendidikan, Wilson (1996) menjelaskan antara kecekapan teknikal yang perlu ada pada seseorang pengetua untuk membantu mereka melaksanakan tugas penyeliaan dengan berkesan ialah penguasaan pengetahuan dalam bidang penyelidikan, keberkesanan pengajaran dan juga kebolehan untuk menghubungkan penemuan penyelidikan dengan pengurusan pengajaran. Oleh itu, bagi menjadi seorang pemimpin sekolah yang berkesan dalam penyeliaan, maka seseorang pengetua atau guru besar perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam semua aspek.

12.0 Kesimpulan

Penyeliaan merupakan satu daripada tugas rutin dalam bidang kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Penyeliaan pengajaran yang dijalankan secara bersama dengan guru ialah kunci kepada keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan sekolah. Ini berdasarkan hakikat bahawa guru yang terlibat dalam amalan penyeliaan berkaitan dengan matlamat biasanya akan mengubah tingkah laku mereka secara positif. Dalam konteks ini, penyeliaan pihak pengurusan terhadap pihak yang diselia iaitu guru merupakan satu usaha ke arah ,meningkatkan kebolehan warga pendidik menghadapi cabaran dunia pendidikan dalam era globalisasi. Pengetua atau guru besar sekolah di Malaysia menghadapi banyak cabaran dan perlu menunaikan banyak tuntutan. Sistem pendidikan berpusat tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membataskan kebebasan amalan pengetua atau menyekatkan ‘empowerment’ . Hakikat ini termaktub dalam Wawasan Pendidikan Malaysia, agar kuasa membuat keputusan yang releven kepada sekolah diturunkan kepada pengetua atau guru besar dan kepengetuaan melibatkan pengurusan berasaskan sekolah. Hanya stail pemimpin yang akan menjamin cara syarat dan peraturan digunapakai sebagai panduan dan amalan pentadbiran. Pemimpin sekolah harus bijaksana menggunakan bidang kuasa yang ada padanya untuk membuat perubahan dalam lingkungan lunas-lunas syarat sistem berpusat. Untuk menghadapi cabaran dan tuntutan masyarakat pemimpin sekolah mestilah meningkatkan tahap keprofesionalismenya. Manakala dalam menghadapi cabaran pada alaf baru ini pula pengetua dan guru besar diharap memaparkan tingkah laku dan menerapkan nilai-nilai baru dalam pengurusannya.

Dalam situasi ini, pengetua atau guru besar adalah agen perubahan di sekolah. Tugas penyeliaan yang perlu dilakukan oleh pengetua adalah salah satu tugas pengetua sebagai pemimpin pengajaran. Penyeliaan yang dilakukan oleh pemimpin sekolah adalah bertujuan untuk memperbaiki dan memajukan lagi mutu pengajaran di sekolah. Melalui penyeliaan, guru-guru dapat dibimbing, dipertingkatkan prestasi pengajaran dan dapat dipupuk semangat untuk bekerja dengan lebih efektif. Oleh itu, penyeliaan perlu dilakukan oleh pengetua dan guru besar atau pihak yang diberi kuasa supaya proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa. .

RUJUKAN

Abdul Aziz Mohd. Sultan(2000). Latihan mengajar: penilaian atau penyeliaan? Jurnal Pendidikan Guru. Bahagian Pendidikan Guru. Kementerian Pendidikan Malaysia

Abdul Rahim Abd Rashid et al.(2001). Panduan Latihan Mengajar. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Alimuddin bin Haji Mohd Dom(2006). Sekolah berkesan: Faktor-faktor keberkesanan sekolah. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke -13. Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki.

Anderson, R. H. & Karolyn, J. S.(1998). Clinical supervision : Coaching for higher performance. Pennsylvania : Technomic Publishing Company,Inc

Asnah Abdul Hamid(1995). Penyeliaan Dalam Pengurusan Organisasi Pendidikan: Satu pendekatan kaunseling. Jurnal Pendidikan. Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jilid 4, Bil. 2.

Auzait Shamsudin ( 2007 ) - Sistem pengajaran sekolah rendah. Modul Pembelajaran Pengajian Pendidikan Jarak Jauh.

Boardman, W. Charles, Dougless R. Harl dan Bent K. Rudyard. (1999). Democratic Supervision In Secondary School. Massachusetts : Houghton Mifflin Company

Bruce,R. E., & Grimsley, E. E. (2000). Readings in educational supervision (Vol. 2). Association for Supervision and Curriculum.

Buku Penilaian Latihan Mengajar Dalam Program Pendidikan Guru Di Malaysia (2005). Institut Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia

Condoli, I.C., Hack, W.G., Ray, J.R., & Stollar, D.H.(1999). School Business Administration: A Planning Approach. Second Edition. Boston: Allyn & Bacon

Fry H., Ketteridge, S., & Marshall, S.(2003). A handbook for teaching & learning in higher education. London: Enhancing academic practice (2nd ed.).

Hazil Abdul Hamid. (2004). Penyeliaan dan Peningkatan Prestasi Pelatih Latihan Mengajar dalam Perspektif Pembentukan Objektif dan Proses Bimbingan. Universiti Teknologi Malaysia.

Hussien Mahmood(1997). Kepimpinan dan keberkesanan sekolah Edisi kedua. Kuala Lumpur: Dawama Sdn. Bhd.

Kimbrough, R.N. & Nunnery, M.V. 1976. Educational Administration: An Introduction. New York: MacMillan Publishing.

Md. Zin Idros(2000). Teori-Teori Penyeliaan. Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan Negeri Terengganu. Nota Kursus di Pusat Sumber Pendidikan Negeri Terengganu, 8 – 10 Oktober

Mohd Salleh Lebar(2000). Pentadbiran pendidikan dan pendidikan Di Malaysia. Petaling Jaya : Addison Wesley Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Owens, R.G. 1990. Organizational Behaviour in Schools. New Jersey: Prentice-Hall.

Sarasson, S. (1971). The Culture of the School and The Problem of Change. Boston : Allyn and Bacon.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 / 1987 bertajuk Penyeliaan Pengajaran-Pembelajaran Di Dalam Kelas Oleh Pengetua / Guru Besar, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 / 1987 bertajuk Penyeliaan Pengajaran-Pembelajaran Di Dalam Kelas Oleh Pengetua / Guru Besar, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Surat Pekeliling Ikhtisas ini dikeluarkan dengan tujuan memansuhkan Surat Pekeliling Kementerian Pendidikan 256:" Buku Rekod Mengajar Guru" bertarikh 1 Julai 1963. Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 / 1987 bertajuk Penyeliaan Pengajaran-Pembelajaran Di Dalam Kelas Oleh Pengetua / Guru Besar, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Yulk, G(1994). Leadership in Organisation. Third Edition. New Jersey: Prentice-Hall.

Wan Mohd Zahid b Wan Mohd. Noordin(1999). Ke Arah Pengurusan dan Penyeliaan Bilik Darjah. Kertas kerja dibentang dalam Persidangan Pegawai-Pegawai Pendidikan Dearah kali ke 5 di Kota Bharu, Kelantan

Wilson, R.E. 1996. Educational Administration. Ohio: Charles E. Merrill Books

http://www.doe.mass.edu/lawsregs/603cmr35.html?section=ted dicapai pada 19/3/2011

http://www.lrdc.pitt.edu/hplc/Publications/FinkResnick.PDF dicapai pada 19/2/2011

http://www.e-lead.org/resources/resources.asp?ResourceID=14 dicapai pada 19/3/2011

http://www.ncpeapublications.org/attachments/article/73/m32618.pdf dicapai pada 19/3/2011

No comments: