Tuesday, September 1, 2009

Kaedah Pengajaran Membaca

ABSTRAK

Terdapat pelbagai kemahiran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Kemahiran membaca merupakan salah satu kemahiran yang penting dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Berdasarkan dari kelemahan murid dalam kemahiran membaca mengakibatkan murid tidak dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Satu kajian tindakan telah dilaksanakan bertujuan meningkatkan lagi kemahiran murid membaca dengan lancar. Cadangan kaedah ini diharap dapat hasil yang lebih baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pelbagai kaedah dan pendekatan yang bersesuaian digunakan bagi menangani masalah ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kaedah yang dilaksanakan dapat membantu murid mengatasi masalah membaca diperingkat awal lagi.


REFLEKSI ISU KEMAHIRAN 2M

Keputusan akhir tahun peperiksaan 2008 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu berada pada tahap yang tidak memuaskan. Majoriti kelas tidak mencapai target sekolah iaitu 90 %. Selain itu terdapat lebih kurang 17 % murid yang markah peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di bawah 40 markah. Hasil tinjauan dilakukan menunjukkan bahawa murid–murid ini tidak menguasai kemahiran membaca. Masalah ini menyebabkan mereka lambat memahami kehendak soalan dan juga menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan menjawab tanpa membaca soalan. Berdasarkan perbincangan dengan guru-guru lain, terdapat pelbagai punca kelemahan murid-murid ini yang dikenal pasti seperti kurang membaca, tidak dapat galakan untuk membaca dan kurang motivasi dalaman. Kaedah ini adalah cara-cara mengatasi kelemahan murid dalam kemahiran membaca .

Objektif kaedah ini adalah untuk :
i) Mengenal pasti fokus terhadap permasalahan dan mengenal pasti kaedah penggunaan
Buku Rajin Mengeja Rajin Rajin Membaca sebagai bahan sumber yang sesuai
digunakan bagi mengatasi masalah.
ii) Merangka dan melaksanakan tindakan mengatasi kelemahan dan murid melalui latih
tubi bacaan dengan menggunakan Buku Rajin Mengeja Rajin Rajin Membaca.

KUMPULAN SASARAN
Murid Tahap 1 yang tidak mengusai kemahiran Membaca. Murid ini merupakan murid yang sederhana dalam semua mata pelajaran dan sangat lemah membaca.

1. Kaedah Membaca
Kaedah ini telah diperkenalkan oleh Dr. Michael West. Kaedah ini merupakan kaedah yang paling mudah. Ia tidak memerlukan menghafaz atau menggunakan tatabahasa, idiom dan sebagainya. Kaedah ini hanya menggunakan bacaan. Membaca hanya memerlukan murid mengenali perkataan-perkataan yang tertulis dan membacanya. Kaedah ini mementingkan sebutan dan ini mudah keranan hanya memerlukan pengenalan sahaja dan tidak memerlukan murid menghafaz hukum-hukum tatabahasa yang rumit.
Membaca kuat hanya perlu untuk latihan sebutan dan tidak bertujuan lain. Pembelajaran melalui kaedah ini selalunya menggunakan perbendahraan kata yang dirancang dengan teratur menurut frekuensi. Bahan dibuat secara saintifik, disusun mengikut gred dan peringkat dengan baik. Biasanya senarai perkataan digunakan untuk pemilihan bahan. Kaedah ini tidak mementingkan terjemahan. Ia sering digunakan oleh guru-guru di dalam kelas tanpa di sedari dan ia juga merupakan sebahagian daripada kaedah yang lain.
Asas Bacaan
Asas bererti satu permulaan atau tapak bagi satu binaan. Dalam soal mendirikan asas bacaan bahasa Melaysia perkara-perkara seperti pemilihan ayat, rangkai kata, perkataan, huruf-huruf dan suku kata berkehendakkan kajian yang mendalam dan teliti daripada pihak guru supaya pelajaran yang disampaikan itu tidak membosankan murid-murid. Hal di atas ini berhubung rapat dengan alatan mengajar dan buku-buku bacaan yang sesesuai.
Peringkat ini menekankan beberapa aspek penting :
1. Segala bahan diajarkan hemdak dipilih, dikawal dan disusun dengan baik. Ajarkan perkataan-perkataan dan rangkai kata atau ayat senang yang sesuai dahulu.
2. Alat-alat mengajar hendaklah lengkap untuk menimbulkan minat minat murid-murid.
3. Isi pelajaran hendaklah berkait rapat dengan pengalaman dan sesuai pula dengan perkembangan murid.
4. Gunakan gambar atau warna yang menarik hati murid untuk belajar.
5. Guru hendakalah selalu memberi galakan dan bimbingan supaya tidak membuanuh semangat murid untuk terus belajar membaca.


Cara Mengajar
Mula-mula murid dilatih menyebut sebutan-sebutan dengan betul dan menggunakan pola-pola pertuturan yang mudah. Bacaan senyap dan kuat dijalankan selepas itu dan ini adalah untuk membolehkan mereka memahami teks yang dibaca.
Latihan bertulis hanya didasarkan kepada latihan-latihan yang membolehkan murid-murid mengingati struktur-struktur dan perbendaharaan kata yang penting. Pembelajaran tatabahasa pula didasarkan kepada bacaan supaya membolehkan mereka mengenali beberapa bentuk kata kerja, kata nama dan lain-lain. Penghasilan struktur ayat secara aktif tidak diutamakan.
Biasanya kaedah ini memulakan pelajaran bahasa dengan bahagian lisan, murid-murid diperkenalakan dengan sistem bunyi bahasa yang dipelajari dengan mendengar dan bertutur. Ini dilakukan melalui penggunaan rangkai kata yang mudah. Apabila ini sudah tercapai murid membaca buku teks dan diikuti pula dengan latihan lisan dan menjawab soalan-soalan.
2. Kaedah Secara Kumpulan
Pengajaran secara berkumpulan meminta murid berada dalam satu-satu kumpulan. Lazimnya bahan yang digunakan adalah berbeza diantara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Pengajaran dijalankan dalam kerusi meja yang disusun secara berkelompok mengikut kumpulan atau kebolehan.
Ada dua bentuk kumpulan yang boleh dilaksanakan dalam kelas. Pertama kumpulan mengikut kebolehan atau pencapaian. Kedua kumpulan yang pelbagai kebolehan dan kecenderungan.
Kumpulan Mengikut Kebolehan.
1. Kumpulan jenis ini melibatkan murid-murid yang lebih kurang sama tarafnya. Mereka di letakkan dalam kumpulan beedasarkan ujian atau penilaian.
2. Pada amnya, guru boleh membentuk tiga kumpulan :
a. Kumpulan cerdas.
b. Kumpulan sederhana
c. Kumpulan lambat.
Prinsip-prinsip kaedah pengajaran berkumpulan
Murid harus dibiasakan dengan rutin aktiviti berkumpulan. Iaitu dalam satu satu aktivitu mereka tahu tugas mereka.
Guru harus bersedia dan boleh menerima suasana belajar yang agak bising.
Guru harus menentukan supaya tidak ada murid merasa besar diri dan rendah diri dalam satu-satu kumpulan.
Perhatian hendak diberikan kepada individu tertentu walaupun telah dibahagikan mengikut kumpulan.
Kerjasama dan pertandingan sihat hendak diwujudkan.
Sebelum menjalankan aktiviti kumpulan guru hendaklah menyediakan murid dengan arahan yang jelas.
Semasa aktiviti dijalankan guru hendaklah beredar dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain untuk membimbing dan menggalak murid untuk mendapat pengetahuan.
Diakhir pelajaran guru hendaklah membincang hasil kerja murid bagi tiap-tiap kumpulan.
Sebelum pelajaran ditamatkan, guru dan murid perlu membuat rumusan mengenai apa yang dipelajari.

Teknik yang boleh dijalankan mengikut langkah berikut :
Guru menarik perhatian murid kepada tajuk atau aktiviti yang hendak dijalankan.
Guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan dan kemudian melantik seorang ketua yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua aktiviti dapat dijalankan.
Kemudian guru akan memberi arahan dan tugasan.
Ketika aktiviti kumpulan guru harus bergerak daripada satu kumpulan ke kumpulan yang lain, menegaskan aktiviti yang perlu dibuat dan menghalakan aktiviti ke jalan yang betul.
Setelah tamat guru boleh meminta laporan daripada setiap kumpulan.

3. Kaedah Askar/Tentera
Kaedah ini timbul dalam masa perang dunia kedua untuk kakitangan askar yang memerlukan kemahiran dalam beberapa bahasa bagi memudahkan operasi temtera dalam peperangan tersebut. Oleh kerana keadaan dan keperluan itu mustahak, maka hasil yang memusakan perlu dicapai dalam masa yang singkat. Dlam hal ini, kemhiran lisan adalah menjadi tunpuan utama. Pelajaran hendaklah mencapai peringkat kemahiran bahasa yang sama dengan pengguna-pengguna dan penutur jati bahasa itu, baik dalam sebutan mahupun dalambidang memahami bahasa itu, baik dalam sebutan mahupun dalam bidang memahami bahasa itu. Tulisan tidak penting.
Oleh kerana objektif dan masa yang diberikan itu dipengaruji oleh keadaan peperangan yang sentiasa mendesak, maka masa beljar diintensifkan sedemikian rupa sehingga mencapai 6 hingga9 jam setiap sehari.
Murid yang dipilih itu hendaklah mempunyai segala kualiti yang membolehkan pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak mengalami kesusahan. Sikap, motif, umur dan aptitud terhadap pembelajaran bahasa nestilah semuanya baik. Segala progres yang dicapai oleh pelajar itu dirakamkan dan dikaji dengan kepersisan tentara.
Selain itu, kaedah yang digunakan adalah sama dengan kaedah terus. Latih tubi digunakan dengan kerap memlalui intruktor yang terdiri daripada penutur jati. Kaedah inilah yang menjadi tiruan Peace Corp. Kaedah ini menggunakan teori behaviuris atau mengikut tanggapan bagaimana kanak-kanak mempelajari bahasa mereka dengan cara semula jadi (Kamarudin, 1998 (Abdullah Hassan,1976)).
Cara kaedah ini dilaksanakan adalah seperti berikut :
1. Latihan diberi perhatian sesi latih tubi, mimik dan menghafaz.
2. Menyediakan kumpulan 10 orang, mendengan pembacaan dan mengadakan soalan-soalan mudah.
3. Senarai yang disediakan diulang-ulangkan beberapa kali secara beramai-ramai.
4. Kelas dibahagikan kepada dua dan masing-masing menyoal diantara satu yang lain.
5. Pada masa ini penyelia latih tubi berjalan ke tiap-tiap kumpulan dan membetulkan atau membaiki bunyi sebutan.

4. Kaedah Stesyen Bacaan

Guru perlu menyediakan ‘Stesyen Bacaan’ di salah satu sudut di dalam kelas. Di stesyen ini, disediakan dengan pelbagai bahan bacaan seperti kad suku kata, kad perkataan, kad ayat dam Carta cerita pendek ( Big Book )
Stesyen ini diwujudkan bertujuan memberi ruang kepada murid-murid untuk mengisi masa terluang selepas selesai sesuatu aktiviti. Mereka akan membaca di stesyen ini setelah guru mengesahkan yang mereka berjaya melaksanakan aktiviti yang diberi. Aktiviti ini dapat mewujudkan suasana yang menyeronokkan. Murid berlumba-lumba menyelesaikan aktiviti dengan jayanya untuk melayakkan mereka pergi ke stesyen bacaan. Murid yang telah berjaya membaca bahan yang disediakan di stesen ini dengan lancar akan diberi hadiah.
Kaedah pembelajaran masteri telah dipilih memandangkan kumpulan sasaran merupakan golongan yang melakukan sesuatu mengikut minat. Dalam kaedah pembelajaran masteri, aspek utama yang diberi penekanan adalah pembelajaran mengikut kebolehan. Oleh itu, sekiranya kumpulan sasaran diberi tugasan yang mereka boleh lakukan mengikut kebolehan sedia ada, secara tidak langsung dapat menarik minat mereka terhadap proses P & P. Selain itu, pembelajaran masteri lebih memberi peluang individu itu untuk bertindak atas usaha sendiri tanpa arahan guru. Kaedah ini lebih kepada konsep pembelajaran kendiri iaitu guru hanya bertindak sebagai pembimbing. Akhir sekali, dalam kaedah ini murid dapat beralih ke tahap yang lebih tinggi selepas berjaya pada tahap sebelumnya.

Stesyen 1
Di stesyen 1 bahan yang digunakan adalah dalam bentuk kad suku kata yang menggabungkan KV dan KVK seperti ‘bakul’ dan ‘jalan’. Murid-murid dikehendaki mengeja dan membunyikan suku kata terbuka dan tertutup berdasarkan warna-warna tulisan pada kad tersebut. Tulisan berwarna di atas menunjukkan gabungan suku kata KV + KVK dan KV + KV + KVK.

ja berwarna biru
lan berwarna merah

Penggunaan tulisan berwarna pada setiap perkataan juga adalah penting. Ia bertujuan untuk memudahkan kumpulan sasaran mengenal pasti dan membezakan antara suku kata KV dan KVK. Malahan penggunaan warna pada suku kata juga dapat memudahkan murid untuk mengeja ataupun membaca sesuatu perkataan yang diberi. Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat membantu murid membaca cepat .

Stesyen 2
Di dalam stesen ini, pengkaji menyediakan kad perkataan yang mengandungi gabungan suku kata KV dan KVK . Kad ini masih lagi menggunakan tulisan berwarna supaya murid dapat menyebut suku kata berdasarkan warna tertentu pada perkataan tersebut. Guru dapat melihat peningkatan murid yang tidak perlu mengeja apabila diberi kad-kad perkataan ini.

Stesyen 3
Di sini, Guru menyediakan kad yang mengandungi ayat tunggal yang mudah seperti:
Ibu memasak nasi lemak di dapur.

Stesyen 4
Di stesyen 4 ini, guru menyediakan ‘Big Book’ . ‘Big Book’ adalah sebuah buku yang dibesarkan mengandungi gambar-gambar berwarna dan menarik. Ayatnya adalah pendek supaya murid lebih berfokus kepada latar belakang. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti bacaan terus - murid membaca tanpa perlu mengeja.

Halangan Pelaksanan kaedah ini
Kaedah ini amatlah membebankan guru kerana ia memerlukan tenaga guru yang banyak untuk menjalankan latih tubi. Disamping itu juga kaedah ini memerlukan masa yang panjang. Jadi semestinya ia membosankan murid-murid, lebih-lebih lagi jika guru yang mengendalikan pengajaran itu kurang cekap.
Mengikut kaedah ini murid akan dapat meniru serta menghafaz apa yang diajarkan oleh guru. Tetapi dalam banyak keadaan yang tidak membolehkan murid-murid menggunakan apa yang dilafaz itu dalam konteks bahasa yang sebenarnya. Begitu juga dengan pembentukkan struktur-struktur ayat. Murid akan menjadi sukar atau tidak dapat langsung membentuk ayat baru diluar pola latih tubi.
Akhir sekali, kemungkinan kaedah ini akan menghilangkan keyakinan murid-murid terhadap pembelajaran kerana terlalu banyak letihan oral sehingga menreka beranggapan pembelajaran itu hanya tertumpu kepada oral sahaja.

Bibliografi

Atan Long, 1981, Pedagogi-Kaedah An Mengajar, Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn.
Bhd.
Kamrudin Hj. Husin, 1992(cetakan kelima), Pedagogi Bahasa, Selangor : Longman
Malaysia Sdn. Bhd.
Koh Boh Boon, 1980, Pengajaran Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur : Utusan Publication
& Distributors Sdn. Bhd.
Kementerian Pelajaran Malaysia, 1982 buku Panduan Khas – Program pemulihan, Kuala
Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments: