Sunday, August 30, 2009

Gaya Pengurus Sekolah Yang Berkesan.

GAYA KEPEMIMPINAN SEKOLAH YANG BERKESAN


Abstrak


Penulisan ini bertujuan untuk meninjau amalan gaya kepemimpinan yang berkesan dalam sesebuah sekolah. Hasil pembacaan artikel dan buku tentang amalan gaya kepimpinan mendapati bahawa gaya kepemimpinan yang diamalkan oleh pengurus sekolah mampu memberi kesan terhadap keberkesanan dalam sesebuah sekolah. Gaya-gaya kepimpinan yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah amalan gaya kepimpinan pengurus sekolah yang berkesan. Dapatan pembacaan menunjukkan bahawa pengurus sekolah yang mengaplikasikan gaya kepimpinan yang berbeza mengikut situasi berbeza mampu meningkatkan tahap motivasi dan kepuasan kerja guru. Gaya kepimpinan juga membantu perubahan terhadap pemantapan pengurusan sekolah. Pengurus sekolah didapati berjaya mengatasi apa jua cabaran yang dihadapi dan mengadakan perancangan untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran sekolah. Gaya kepimpinan juga didapati mempengaruhi pembentukan potensi diri dan inovasi. Akhir sekali, perubahan terhadap pengajaran dan pembelajaran juga dipengaruhi oleh gaya kepimpinan pengurus sekolah. Gaya kepemimpinan yang terbaik memberi kesan yang mempengaruhi keberkesanan organisasi.





1.0 Pendahuluan

Kepentingan pengurus sekolah memang tidak dapat dinafikan. Hakikat ini telah lama dinyatakan oleh pakar dalam disiplin pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Ungkapan yang dinyatakan merupakan hasil kajian dan pengamatan yang berstruktur serta mengambil tempoh yang panjang.

Kepentingan peranan pengurus sekolah dalam menetukan jatuh bangunnya sekolah juga telah dinyatakan dengan jelas oleh Fred Hechinger, pengarang akhbar New York Times yang menyatakan bahawa kecemerlangan sekolah sangat bergantung rapat dengan pengetuanya. Kajian sekolah berkesan oleh Mortimore dan Rutter, menguatkan lagi hujah yang menunjukkan kengugulan pengurus sekolah pengggerak utama kemajuan sesebuah sekolah.

Kepimpinan telah diterima sebagai faktor utama yang membezakan antara organisasi yang berkesan dengan organisasi yang tidak berkesan. Kepimpinan pengetua adalah pengaruh yang paling penting dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Kepimpinan berlaku apabila seseorang itu mendorong, memujuk dan mempengaruhi orang lain untuk berusaha ke arah pencapaian sesuatu objektif tertentu. Ralph M. Stogdill (1981) berkata, kepimpinan ialah proses mempengaruhi secara tersusun kegiatan-kegiatan sesuatu kumpulan ke arah menentukan dan memenuhi matlamat organisasi atau kumpulan itu.

Pengaruh kepimpinan adalah amat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi (Stodgill, 1974). Pengaruh dan kecekapan pemimpin dapat membawa ke arah kecemerlangan sesebuah organisasi. Oleh itu, bagi organisasi seperti sekolah, pengaruh kepimpinan dan kecekapan pengetua sekolah amat penting dalam menentukan kejayaan sekolah di bawah pimpinannya. Pembentukan organisasi sekolah berkesan, sangat bergantung kepada kepimpinan pengetuanya.

Pengurus sekolah merupakan kakitangan yang terpenting di peringkat sekolah kerana peranannya sebagai pemimpin, pentadbir dan pengurus di sesebuah sekolah. Pengurus merupakan jawatan yang tertinggi di peringkat sekolah, dilantik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, bertanggungjawab atas apa yang berlaku di sekolah dan persekitarannya. (Jemaah Nazir Sekolah-sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan, 1993).

Pengurus sekolah di Malaysia bertanggungjwab dalam hal-hal yang berkaitan dengan sekolah termasuklah (Hussien, 1993, p21):

a. Berusaha bagi mencapai dasar pendidikan di peringkat sekolah
b. Mengurus dan mentadbir sekolah, kurikulum, kokurikulum, kebajikan pelajar, guru dan staf sokongan sekolah.
c. Menyediakan khidmat bantu yang secukupnya bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.
d. Mewujudkan dan memajukan iklim dan budaya sekolah.

Selain itu, tugas pengurus sekolah seperti yang disediakan oleh Bahagian Sekolah meliputi tujuh bidang utama iaitu:
a. Pengurusan kegiatan kurikulm, kokurikulum dan hal ehwal pelajar.
b. Pengurusan sekolah (pentadbiran, kewangan, perkhidmatan dan perjawatan)
c. Menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
d. Perhubungan dengan ibu bapa dan masyarakat setempat.
e. Kemajuan sekolah
f. Pengajaran
g. Kepimpinan pengajaran dan penyelidikan pendidikan.

Peranan pengurus sekolah menjadi penting kerana tugas utamanya adalah memastikan “core business” sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai kejayaannya. Menyentuh tentang peranan ini, Greenfield (1995:75) merumuskan “Oleh kerana sekolah merupakan organsisasi yang bersifat normatif, kepimpinan merupakan alat yang paling efektif bagi mengurus dan menambah baik sekolah. Kepimpinan merupakan satu bentuk yang istimewa bagi mengajak orang lain, secara sukarela menukar tabiat mereka seperti tindakan, sikap dan andaian-andaian”.

Gaya kepimpinan dapat didefinisikan sebagai:

“….. satu struktur kemahuan yang terselindung dalam diri pemimpin dan mempengaruhi gelagatnya dalam berbagai-bagai suasana kepimpinan. Jadi, stail kepimpinan merujuk kepada keseragaman matlamat dan kemahuan pemimpin dalam suasana berlainan.” ( Fiedler dalam Razali Mat Zin, 1996)

Gaya kepemimpinan seorang pengurus sekolah juga merupakan faktor penting dalam keberkesanan sesebuah kumpulan atau organisasi (Ezhar Tamam, 1999 dalam Shukri, 2004). Gaya kepemimpinan seorang pengurus sekolah boleh membawa kepada pencapaian hasil utama organisasi. Gaya tersebut juga mampu mempengaruhi perubahan besar dalam organisasi serta membentuk komitmen ahlinya untuk mencapai misi, matlamat dan strategi organisasi (Chan, 2004).

Selain itu, salah satu tugas besar dan kompleks bagi kepimpinan sekolah adalah mengurus perubahan. Kepimpinan sekolah bergantung kepada pengurus sekolahnya (Holtzman, 1992). Hanafi Kamal (1990), dalam menjelaskan perkara ini menyatakan bahawa kepentingan pengurus sekolah dalam pentadbiran terutamanya dari aspek perubahan adalah kerana sekolah dilihat sebagai organisasi yang sentiasa berubah. Setiap perubahan yang berlaku memerlukan tindakan penyesuaian untuk penyelesaian masalah. Maka, di sinilah letaknya peranan pengurus sekolah untuk melahirkan sekolah sebagai sebuah organisasi yang dinamis serta berupaya menghadapi sebarang perubahan.

Selaku pengurus dan pentadbir, pengurus sekolah bertanggungjawab menentukan tujuan organisasi, menetapkan dasar-dasar umum untuk perjalanan dan memberi tumpuan umum terhadap keberkesanan organisasi secara keseluruhan untuk memenuhi objektif yang ditetapkan (Boles, 1979). Sesebuah organisasi seperti sekolah mempunyai ahli pelbagai latar belakang yang hendak dikawal, dibimbing serta dipimpin dengan teliti agar segala tingkah laku mereka dapat diselaraskan. Selain itu, pada masa yang sama semangat dan kepuasan ahli-ahlinya terjamin.

Walaupun mempunyai banyak kekangan dalam menghadapi perubahan, peranan pengurus sekolah sebagai agen perubahan adalah sangat penting dan menonjol terutamanya peranan untuk mengimplimentasi inovasi dan perubahan dalam budaya sekolah. Darjah implimentasi bagi inovasi adalah berbeza disekolah-sekolah yang berbeza bergantung kepada keprihatinan dan tindakan pengurus sekolah (Hall, Hord dan Griffin, 1980 dalam Mohd Izham, 2009).

Kajian Interaksi Pengurus sekolah atau Principal-Teacher Interaction (PTI) yang telah dijalankan oleh Hall et al (1987) dalam Mohd Izham (2009) telah mengenal pasti tiga gaya kepimpinan yang berbeza di kalangan pengurus sekolah iaitu sebagai responder, manager dan initiator. Sekolah yang mana pengurus sekolah mempunyai gaya initiator adalah yang paling berjaya diikuti dengan gaya pengurus (manager) dan akhir sekali ialah gaya responder. Pengurus sekolah yang mempunyai gaya initiator bekerja secara kolaboratif dengan fasilitator perubahan yang lain. Cara kolaboratif ini membolehkan sekolah lebih banyak intervensi (nota kepada staf, mesyuarat kecil dan perbincangan tentang kemajuan), lebih banyak intervensi pelbagai arah (tindakan yang diambil secara berkumpulan atau lebih daripada seorang), lebih banyak tindakan dijalankan dengan merujuk guru-guru, lebih arahan daripada pengurus sekolah, lebih banyak tindakan daripada guru-guru dan lebih fokus kepada pelajar serta pembelajaran.

Seterusnya, dalam beberapa kajian lain mengenai kepimpinan transformasi mendapati terdapat pengaruh ke atas usaha gigih dan kepuasan orang bawahan ( Bass 1990), keberkesanan organisasi (Seltzer & Bass 1990), prestasi kerja orang bawahan (Avolio et al.1988). Selain itu, hasil kajian Hoernemann (2000) dan Jackson (2000) dalam Ishak Din (2003), juga mendapati kepimpinan transformasi boleh mempertingkatkan kepuasan orang bawahan. Podsakoff et al. (1996 dalam Ishak Din, 2003), melaporkan bahawa kepimpinan transformasi mempunyai pengaruh yang kuat ke atas kepuasan kerja orang bawahan dan komitmen orang bawahan kepada organisasi.

Southworth (2002), merumuskan bahawa kepimpinan pengajaran adalah merupakan elemen yang paling penting dalam memastikan sekolah menjadi cemerlang. Tiga aspek kepimpinan pengajaran yang secara konsisten mempunyai pengaruh ke atas keberkesanan sekolah ialah menetapkan matlamat sekolah, pengurus sekolah yang sentiasa dapat dilihat dan menggalakan perkembangan professional di kalangan guru.

Rumusannya, kajian-kajian mengenai perubahan banyak melaporkan dapatan-dapatan yang menggambarkan pentingnya pengurus sekolah berperanan sebagai agen perubahan dan mempunyai gaya kepimpinan initiator perubahan bagi menjamin kejayaan perubahan yang dilaksanakan. Perubahan juga didapati akan meminggirkan sistem tradisi persekolahan untuk memberi laluan kepada impak teknologi dan komunikasi yang serba mudah dan cepat. Begitu juga dengan kerenah birokrasi yang wujudnya banyak mencengkam sistem persekolahan, akan lenyap kerana organisasi sekolah perlu cepat bertindak balas kepada perubahan yang datang dari persekitarannya.

Penilisan ini bertujuan untuk meninjau kesan amalan gaya kepemimpinan pengurus sekolah yang dikomunikasikan kepada kakitangannya terhadap perubahan tingkah laku warga dalam sesebuah organisasi. Hasil bacaaan daripada beberapa buku dan jurnal mendapati bahawa enam gaya kepemimpinan yang diamalkan oleh pengurus sekolah mampu memberi kesan positif terhadap motivasi dan kepuasan kerja guru, pemantapan pengurusan sekolah, pengembangan potensi diri dan inovasi, dan peningkatan amalan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, tetapi hanya memberi kesan yang rendah terhadap tekanan kerja guru dan tidak mempengaruhi keberkesanan organisasi. Justeru, kertas ini akan membincangkan aspek-aspek berikut :

i. Kesan amalan gaya kepimpinan terhadap peningkatan motivasi dan kepuasan
kerja guru;
ii. Kesan amalan gaya kepimpinan terhadap pemantapan pengurusan sekolah,
iii. Kesan amalan gaya kepimpinan terhadap perkembangan potensi diri dan
inovasi,
iv. Kesan amalan gaya kepimpinan terhadap peningkatan amalan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan


2.0 Gaya Kepimpinan
Stail dan gaya kepimpinan secara umumnya boleh dilihat seperti kepimpinan autokratik, kepimpinan birokratik, kepimpinan karismatik, kepimpinan demokratik, kepimpinan Laissez-faire, kepimpinan orientasi hubungan, Servant leadership, Task-oriented leadership, kepimpinan transksional, kepimpinan transformasi dan kepimpinan situasi.

Kepimpinan Situasi - Mengandaikan gaya kepimpinan, dan model kepimpinan yang berbeza itu adalah lebih baik di situasi-situasi berbeza, dan pemimpin-pemimpin itu mesti mudah berubah untuk memilih gaya yang sesuai dengan situasi yang wujud. Pemimpin mempelbagaikan stail kepimpinan mengikut kemahiran atau kemampuan dan kesungguhan pengikut dalam organisasi. Ia jugaa mengambil kira kontingensi situasi seperti kematangan pengikut. Kematangan merujuk kepada tahap keupayaan dan persediaan seseorang pengikut menyempurnakan sesuatu tugas iaitu meliputi pengetahuan, kemahiran dan kepakaran teknikal, keyakinan diri, komitmen, motivasi dan harga diri berhubung dengan sesuatu tugas.

Mengikut teori kepimpinan situasi semakin matang tahap perkembangan pengikut, semakin tingi tahap penguasaan kemahiran dan pengetahuan di dalam sesuatu tugasan, semakin tinggi tahap komitmen pengikutnya, pemimpin seharusnya mengurangkan stail kepimpinan yang berteraskan arahan tugasan dan penyeliaan yang ketat kepada stail yang berorientasikan hubungan dengan pengikut iaitu memberi sokongan (supporting). Akhirnya apabila tahap perkembangan pengikutnya sangat tinggi dan matang bukan sahaja dalam disiplin tugasnya bahkan dalam aspek saikologi pemimpin haruslah mendelegasi. Kesimpulannya dapatlah ditegaskan bahawa kepimpinan situasi ialah suatu proses mempengaruhi aktiviti individu atau kumpulan supaya dapat mencapai matlamat dalam sesuatu situasi tertentu.

Seorang pemimpin yang berkesan adalah seorang pemimpin yang dapat mengubah gaya kepimpinannnya mengikut situasi yang berbeza. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengetua yang berkesan telah mengamalkan stail kepimpinan situasi apabila menguruskan sekolah dan stail utama ialah stail membimbing diikuti oleh stail menyokong, mengarah dan mendelegasi. Stail mengarah selalunya digunakan terhadap guru-guru baru, stail membimbing terhadap guru-guru yang kurang berpengelaman dan stail mendelegasi terhadap guru-guru kanan.

Seorang pemimpin situasi itu perlu meneliti keseluruhan orang bawahannya, mendekati pekerjanya dalam setiap tugasan yang diberi, memilih stail kepimpinan, berbincang dengan orang bawahannya dalam situasi yang berbeza dan kemudiannya melaksanakan perancangan secara bersama.

Dalam tahun 1969 Paul Hersay dan Ken Blanchard, telah membangunkan model kepimpinan situasi berteraskan kepada dua konsep iaitu gaya atau stail kepimpinan dan tahap perkembangan pengikut. Stail kepimpinan yang diutarakan dalam model ini ialah Telling (Directing), Selling (Coaching), Participating (Supporting), dan Delegating.
• Directing/Telling
Pemimpin menggariskan peranan dan tugas pengikutnya serta menyelia, memberi arahan dengan kerap. Segala keputusan ditentukan oleh pemimpin dan perhubungan adalah secara satu hala. Pengikut mempunyai kemahuan untuk melakukan sesuatu tugas atau bekerja tetapi mereka kurang pengetahuan dan kemahiran. Pengikut perlu banyak bimbingan daripada pemimpin , perlu banyak membuat latihan dan pembelajaran.
• Coaching/Selling
Pemimpin membimbing dan menentukan peranan dan tugas dan dalam masa yang sama menerima idea dan buah fikiran pengikutnya Segala keputusan masih ditentukan oleh pemimpin dalam hubungan secara dua-hala. Tahap perkembangan pengikut adalah kritikal, kurang bermotivasi, tidak mempunyai pengetahuan serta kemahiran yang mencukupi bagi melaksanakan tugas. Mereka perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran disamping perlu banyak dorongan dan bimbingan.

• Supporting/Participating
Pemimpin perlu banyak memberikan dorongan dan galakan kepada pengikut. Berkongsi idea dengan membuat keputusan bersama-sama, memberikan jawatan atau ganjaran berdasarkan penghasilan tugas pengikutya.
• Delegating
Pemimpin yang liberal dan autonomi, mendelegasikan tugas dan tanggungjawab kepada pengikut. Pengikut proaktif, banyak pengetahuan dan berkemahiran kreatif serta inovatif, hanya perlu perhatian dan bimbingan minimum daripada pemimpin. Pemimpin tidak lepas tangan.

Blanchard dan Hersay seterusnya menegaskan gaya kepimpinan seseorang pemimpin sangat bergantung kepada tahap perkembangan pengikutnya, iaitu tahap kompentensi dan komitmen subordinate yang juga dikategorikan kepada empat (4) bahagian:

1. Kompetensi dan komitmen yang tinggi
– Sangat berpengalaman dalam bidangnya dan selesa dengan kebolehan sehingga boleh jadi lebih mahir daripada pemimpinnya.
2. Kompetensi yang tinggi tetapi komitmen yang sederhana
– perlu kepada motivasi kerana tidak mempunyai keyakinan untuk menguruskan kerja berseorangan.
3. Kompetensi sederhana dengan komitmen yang rendah
– mempunyai kemahiran yang berkaitan tetapi tidak dapat melaksanakan tugas
tanpa bantuan, berkemungkinan tugasan yang diberikan kepadanya adalah sesuatu
yang baru bagi mereka.
4. Kompetensi dan komitmen yang rendah
– tidak mempunyai kemahiran dalam tugasan yang diberi di samping tidak
bermotivasi dan berkeyakinan.

Blanchard and Hersey menegaskan Stail Kepimpinan seseorang pemimpin itu mestilah dikaitkan dengan Tahap Pembangunan pengikutnya dan pemimpin mestilah dapat menyesuaikan yang terbaik di antaranya. Dengan memilih stail yang betul disesuaikan dengan tahap pembangunan pengikut, tugasan dapat disempurnakan, hubungan dipereratkan dan yang lebih penting tahap pembangunan atau perkembangan pengikut akan meningkat .

Tidak satu pun daripada stail diatas yang merupakan satu-satunya stail yang mesti dipilih oleh seorang pemimpin sebagai stail yang optima. Pemimpin yang berkesan mestilah seorang pemimpin yang boleh berubah dalam memilih stail yang paling sesuai dalam sesuatu situasi yang tertentu. Ada ketikanya seorang pemimpin itu perlu bersifat autokratif mirip instruksional manakala dalam keadaan yang lain perlu lebih kepada transformasi dan pada ketika-ketika yang lain perlu lebih liberal. Kunci kepada kejayaan pemimpin situasi adalah mengenal pasti dengan tepat manakah di antara keempat-empat stail kepimpinan itu digunakan dalam situasi tertentu pada subordinat tertentu. Pemimpin situasi memilih stail kepimpinan berasaskan kepada kompetensi dan komitmen seseorang pengikut lebih daripada pilihan pemimpin itu sendiri.

Terdapat kelemahan dan halangan kepada stail kepimpinan situasi. Pengambilan risiko – pemimpin mengambil risiko apabila mengambil pendekatan mengarah. Jika terlalu tegas, ia akan membantut potensi dan menghakis keyakinan diri subordinat. Manakala tindakan yang longgar seperti medelegasi dan empowermen akan membawa kekecewaan kerana tidak mencapai hasil seperti yang diharapkan.Tahap atau darjah sokongan adalah suatu kaedah yang juga mempunyai risiko.Pemimpin akan kehilangan kuasa kepimpinan sekiranya terlalu banyak mendengar dan mengambil idea daripada subordinat. Kecelaruan di antara stail sokongan dan kuasa pemutus pemimpin merupakan suatu disadvantage kepada teori ini. Pemimpin mestilah mempunyai kemahiran komunikasi yang aktif untuk membolehkan stail sokongan, tunjuk ajar dan arahan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kuasa pemutus mereka.

Sebagai pemimpin pendidikan pengurus sekolah banyak terlibat dengan fungsi-fungsi pengurusan sekolah dalam dimensi seperti pengurusan organisasi, pengurusan pejabat, pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum, pengurusah hal ehwal murid, pengurusan sumber manusa, pengurusan infrastruktur dan fizikal, pengurusuan hubungan komuniti dan pengurusan kewangan.

3.0 Pemimpin Berkesan

Untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan perlu mewarisi ciri-ciri berikut:
1. Mengetahui dan melatih diri.
Kebanyakan pemimpin terdiri daripada mereka yang berpengaruh, pintar, agresif, berinisiatif dan mempunyai keyakinan diri dan kebolehan menyelia diri.

2. Mengetahui dan mengawal gaya.
Gaya yang terbaik sekali bergantung kepada banyak faktor (selain daripada berorientasikan tugas dan berperikemanusiaan). Maka perlu bagi mereka menganalisis dan memahami gaya tersendiri untuk mengekalkan suatu keadaan fleksibel supaya dapat dipadankan kepada situasi berkenaan.

3. Mempercayai perkara-perkara terbaik tentang orang lain.
Mengikut andaian-andaian Teori Y, Mc Gregor. Dengan mempercayai bahawa manusia adalah pandai, kreatif, sanggup bekerja, bertanggungjawab dan ingin menyelesaikan masalah, dapat meningkatkan lagi pertumbuhan sifat pemimpin yang berkesan.

4. Memenuhi keperluan-keperluan staf.
Ini merupakan secara mudah kenyataan pemikiran Maslow dan Mc Gregor. Tetapi di dalam amalannya, beraneka masalah dihadapi. Umpamanya, bagaimanakah dia mendorong pekerja yang keperluan mereka tidak dapat dipenuhi melalui kerja mereka? Bagaimanakah dia dapat meyakinkan staf supaya mempersetujui matlamat organisasi? Mc Gregor telah mencadangkan suatu teknik seperti penyertaan staf dan sesi-sesi dialog yang membincangkan perkara-perkara seperti matlamat-matlamat organisasi.

5. Bertindak sebagai pemimpin.
Dalam semua hal, pemipin perlu bertindak sebagaimana yang dijangka dan diingini oleh pengikut atau staf, agar mendapat sanjungan yang setimpal dengan taraf pemimpin.
Mengikut Renihan (1996) terdapat tujuh kemahiran utama pengurusan sekolah yang berkesan, iaitu:
1. Kemahiran hubungan manusia
2. Kemahiran kepimpinan
3. Kemahiran organisasi
4. Kemahiran komunikasi
5. Memahami, sabar dan empati
6. Konsisten dan jelas matlamata serta
7. Latar belakang akademik


4.0 Model atau Teori

Teori kepimpinan yang digunakan untuk menggambarkan kajian ini adalah teori kontigensi. Menurut Robiah (2003), teori kontigensi mengandaikan bahawa keberkesanan kepimpinan adalah bergantung kepada kesesuaian atau keselarasan personaliti pekerja dan tingkah laku pemimpin dengan faktor-faktor situasi seperti struktur tugas, kuasa, kedudukan atau jawatan, dan kemahiran serta sikap pekerja. Teori ini juga menganggap tiada satu pun gaya kepimpinan yang baik dan sesuai untuk semua situasi, semuanya bergantung kepada situasi semasa dan tahap keupayaan pekerja. Pengurus sekolah sebagai seorang pentadbir dan juga pemimpin harus mengenal pasti faktor-faktor yang paling penting yang boleh mempengaruhi tingkah laku kakitangan atau ahli yang dipimpinnya dalam situasi yang tertentu, dan meramalkan gaya kepimpinan yang paling berkesan untuk situasi tersebut. Model teori yang digunakan di bawah teori kontigensi ini ialah model teori laluan matlamat House yang telah diasaskan oleh Martin G. Evans dan Robert House pada tahun 1971, diambil dan diubahsuai daripada buku Teori Asas Pendidikan oleh Robiah Sidin (2003), seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1 di bawah.



Rajah 1 : Model diubahsuai dari Model Teori Laluan Matlamat House

GAYA
KEPIMPINAN

- Kolaboratif Terbuka
- Autoritatif Membina
- Situasi
- Transformasi
- Pengajaran
- Pemudah Cara
PERUBAHAN TINGKAH LAKU

- Tahap motivasi dan kepuasan guru
- Pemantapan pengurusan sekolah
- Pengembangan potensi diri dan inovasi
- Amalan pengajaran dan pembelajaran (P&P) berkesan.

Proses amalan gaya kepimpinan dikomunikasikan kepada kakitangan



Model Teori Laluan Matlamat menyokong Teori Kontigensi Fielder dan berdasarkan Teori Motivasi Harapan. Mengikut teori ini, pemimpin dianggap berkesan apabila pemimpin boleh meningkatkan tahap penerimaan dan motivasi dalam kalangan pekerja yang diuruskannya. Fokus teori ini adalah tingkah laku pemimpin, bagaimana pemimpin dapat mengubahsuai stail kepimpinannya supaya berkesan dengan keadaan atau situasi yang dihadapi. Selain itu, menurut teori ini motivasi, kepuasaan dan pelaksanaan kerja seorang pekerja (guru) bergantung kepada gaya kepimpinan yang dipilih. Kepelbagaian dimensi tingkah laku kepimpinan diselidik melalui teori ini. Antaranya, termasuklah struktur permulaan pemimpin, pertimbangan, autoritatif, pengaruh hierarki dan darjah keakraban penyeliaan. Setiap dimensi itu dianalisis berdasarkan variable laluan Matlamat, seperti valens dan instrumentaliti.

Gaya-gaya kepimpinan yang akan dibincangkan adalah gaya kepimpinan kolaboratif terbuka, gaya kepimpinan autoritatif membina, gaya kepimpinan situasi, gaya kepimpinan transformasi dan gaya kepimpinan pengajaran. Berdasarkan teori ini, proses pengurus sekolah mengamalkan gaya kepimpinannya akan mempengaruhi kakitangannya dengan mengambil kira situasi organisasi dan personaliti pekerja. Situasi organisasi dirujuk kepada struktur tugas, peraturan dan sistem kuasa manakala personaliti pekerja pula merujuk kepada keperluan peribadi, kebolehan pekerja dan kawalan diri. Proses ini akan membentuk perubahan tingkah laku kakitangannya. Gaya kepimpinan pengurus sekolah akan meningkatkan motivasi dan kepuasan guru, memantapkan pengurusan sekolah, mengembangkan potensi diri dan inovasi guru dan pelajar, dan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Perbincangan mengenai jenis gaya kepimpinan dan pengaruhnya dalam perubahan tingkah laku kakitangan akan dibincangkan dibawah.





5.0 Kesan Amalan Gaya Kepemimpinan Terhadap Peningkatan Motivasi dan Kepuasan Kerja Guru

Amalan gaya kepemimpinan seseorang pengurus sekolah mampu memberi kesan terhadap motivasi dan kepuasan kerja guru-guru dan staf dibawahnya. Shukri (2004), sependapat bahawa gaya kepimpinan pengurus sekolah mempunyai pengaruh terhadap peningkatan motivasi dan kepuasan kerja pekerja. Contohnya, mendapati bahawa amalan komunikasi kepemimpinan ketua sama ada kolaboratif terbuka atau autoritatif membina mempunyai pengaruh yang ketara terhadap kepunyaan yang kuat oleh warga organisasi (motivasi intrinsik) dan mempengaruhi sikap penglibatan mereka dengan berkesan terhadap tugas dalam organisasi (motivasi ekstrinsik). Walau pun kedua-dua gaya kepimpinan tersebut memberi kesan positif terhadap motivasi dan kepuasan kerja staf, pengaruh gaya kepimpinan kolaboratif terbuka didapati lebih kuat.

Mohd. Nor (2004) yang mengkaji amalan gaya kepimpinan guru besar kepada stafnya pula mendapati tingkah laku (gaya) kepemimpinan pengajaran guru besar memberi kesan positif kepada motivasi dan komitmen kerja guru. Faktor insentif yang memuatkan cara-cara guru besar menghargai, memuji dan mengukuhkan prestasi guru sebagai satu bentuk insentif kepada guru-guru dan seterusnya meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja guru.

Melalui gaya kepemimpinan situasi, pengurus sekolah mengamalkan gaya kepemimpinan berbeza kepada guru yang berbeza dalam situasi-situasi berbeza. Cara pengurus sekolah menggunakan pendekatan berbeza mengikut kesesuaian situasi ini membantu mewujudkan suasana kondusif dan bermotivasi dalam kalangan guru apabila mereka diuruskan dengan adil dan sesuai dengan tugas yang diberi (Maimunah, 2004). Contoh gaya berbeza terhadap individu berbeza adalah seperti berikut :

a. Gaya mengarah biasanya kepada guru-guru baru/ guru berprestasi rendah/ mengelak tugas.
b. Gaya membimbing biasanya kepada guru yang kurang pengalaman dan pengetahuan tentang kelas.
c. Gaya menyokong biasanya kepada guru berpengalaman.
d. Gaya mendelegasi biasanya kepada guru kanan/ pentadbir sekolah.

Kajian terhadap amalan gaya kepimpinan transformasional dalam kalangan pengurus sekolah juga mendapati bahawa pengurus sekolah dapat mengenal pasti keperluan pengikut dan sentiasa cuba meningkatkan keperluan pengikut ke peringkat motivasi dan kematangan yang lebih tinggi. Pada masa yang sama juga, pengurus sekolah cuba memenuhi keperluan perkembangan potensi kakitangan (Chan, 2004).

Kesimpulannya, gaya kepimpinan yang diamalkan oleh pengurus sekolah sama ada gaya kepimpinan kolaboratif terbuka, gaya kepimpinan autoritatif membina, gaya kepimpinan pengajaran, gaya kepimpinan situasi atau gaya kepimpinan tranformasional memberi kesan positif terhadap motivasi dan kepuasan kerja guru. Guru yang bermotivasi dan mendapat kepuasan kerja dapat membantu mewujudkan sekolah berkesan dan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.

5.0 Kesan Amalan Gaya Kepemimpinan Terhadap Pemantapan Pengurusan Sekolah

Gaya kepimpinan pengurus sekolah memberi kesan terhadap pemantapan pengurusan sekolah. Gaya pemudah cara, gaya pengajaran, situasi dan transformasional adalah gaya yang dinyatakan memberi kesan positif terhadap pemantapan pengurusan sekolah.

Kecemerlangan organisasi banyak dipengaruhi oleh elemen-elemen seperti guru dan murid, struktur pentadbiran sekolah, teknologi pendidikan dan persekitaran sekolah yang sihat. Pengurus sekolah yang mengamalkan gaya pemudah cara sentiasa mengemaskini elemen-elemen tersebut, menyediakan spesifikasi kerja yang baru, mengatasi apa jua konflik yang dihadapi dan mengadakan perancangan untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran sekolah.

Dalam konteks keberkesanan sekolah-sekolah rendah di luar bandar, faktor kepemimpinan pengajaran merupakan salah satu faktor utama yang menentukan keberkesanan sesebuah sekolah (Mohd Nor, 2004). Sekolah yang berkesan mempunyai guru besar yang berfungsi sebagai pemimpin pengajaran yang berkesan.

Dalam kajiannya, Maimunah (2004) mendapati pengurus sekolah yang menjadi respondennya mengamalkan gaya kepimpinan membimbing sebagai gaya kepemimpinan utama dan gaya menyokong sebagai gaya kepemimpinan kedua. Ini bermakna pengurus sekolah tersebut mengamalkan gaya kepemimpinan mengikut kesesuaian situasi dan masalah yang berlaku. Mereka berkebolehan dan berani dalam membuat keputusan. Ini adalah positif apabila seorang ketua dilihat boleh menguruskan sesuatu perkara dan tahu bertindak sewajarnya dan menjadikan pengurusan berkesan.

Gaya pemudah cara telah membantu pentadbir memberi tumpuan kepada aspek pengurusan sekolah dengan tidak perlu lagi memikirkan bebanan yang akan ditanggung oleh guru-guru. Sementara Chan (2004) pula mendapati gaya kepimpinan transformasional memupuk para pentadbir untuk mewujudkan pengurusan yang kolaboratif dan keberkesanan pengurusan sekolah.

Kesimpulannya, gaya-gaya kepimpinan pemudah cara, gaya pengajaran, situasi dan transformasional telah menunjukkan kesan yang positif terhadap pemantapan pengurusan sekolah. Gaya-gaya tersebut juga didapati memberi kesan positif terhadap keberkesanan sekolah kecuali gaya kepimpinan pemudah cara. Noordin (2004) mendapati bahawa gaya kepimpinan pemudah cara hanya memberi kesan yang rendah terhadap tekanan kerja guru dan tidak mempengaruhi keberkesanan organisasi.

6.0 Kesan Amalan Gaya Kepemimpinan Terhadap Perkembangan Potensi Diri dan Inovasi

Gaya kepimpinan pengurus sekolah mempunyai pengaruh terhadap perkembangan potensi diri dan inovasi pekerja. Perkembangan potensi diri dan inovasi mencerminkan kebolehan guru atau staf dalam sesebuah sekolah untuk menggunakan bakat atau potensi diri dalam melakukan perubahan dalam suatu kaedah P&P atau proses kerja. Perkembangan potensi diri dan inovasi ini memerlukan dorongan daripada kepimpinan.

Chan (2004) mendapati bahawa gaya kepimpinan transformasional yang diamalkan oleh pengurus sekolah cuba memenuhi keperluan perkembangan potensi kakitangan apabila beliau dapat mengenal pasti keperluan pengikut dan sentiasa cuba meningkatkan keperluan pengikut ke peringkat motivasi dan kematangan yang lebih tinggi. Amalan pengurus sekolah ini juga berupaya membentuk keazaman diri dan kemampuan mendorong seluruh warga organisasinya melaksanakan inovasi dalam pendidikan dan mempunyai inisiatif untuk melakukan perubahan. Sementara Shukri (2004) pula mendapati gaya kepemimpinan kolaboratif terbuka dan autoritatif membina yang diamalkan oleh pengurus sekolah berupaya menerbitkan perlakuan yang menghargai dan memartabatkan organisasi secara sukarela, ceria dan inovatif.

Satu kajian berkaitan gaya kepemimpinan pemudah cara dalam mempengaruhi tekanan kerja, telah menunjukkan bahawa hanya terdapat sedikit sahaja guru yang mengalami tekanan hasil dari tingkahlaku pemimpin organisasi sesebuah sekolah (Noordin, Sharifudin & Azizi, 2004). Ini menunjukkan tingkah laku positif seorang pengurus sekolah menghasilkan tingkah laku yang positif daripada kakitangannya.

Kesimpulannya, gaya kepimpinan pengurus sekolah yang positif juga dapat mendorong guru dan staf untuk memperkembangkan potensi diri dan melaksanakan inovasi dalam urusan kerja seharian. Gaya yang positif ini juga dapat mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi oleh guru dan staf.

7.0 Kesan Amalan Gaya Kepemimpinan Terhadap Peningkatan Amalan Pengajaran Dan Pembelajaran Yang Berkesan.

Kajian-kajian yang dilaksanakan mengenai gaya kepimpinan pengurus sekolah menunjukkan bahawa gaya kepimpinan transformasional , gaya kepimpinan pengajaran dan gaya pemudah cara apabila diaplikasikan oleh pengurus sekolah dapat meningkatkan amalan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan di sekolah.

Gaya kepimpinan transformasional membantu para pentadbir ke arah menggalakkan perkembangan pembelajaran pelajar melalui program-program pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Jelas menunjukkan bahawa terdapat perubahan kepada pengajaran dan pembelajaran melalui gaya kepimpinan pengajaran. Cara Pengurus sekolah memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar yang berjaya dalam kurikulum dan aktiviti kokurikulum membuktikan bahawa sekolah yang berkesan dari sudut pengajaran dan pembelajaran dapat diwujudkan. Seorang pengurus sekolah yang mempunyai kemahiran dalam pemimpin pengajaran boleh membawa perubahan dalam pengajaran guru dan pembelajaran para muridnya.

Kajian Mohd Anuar, Azizi & Mohd Yusope (2004) pula mendapati bahawa pengurus sekolah membawa perubahan kepada proses pengajaran dan pembelajaran melalui gaya pemudah cara dan tingkah laku beliau dalam menangani perubahan. Sebilangan besar guru bersetuju bahawa pengurus sekolah bekerja sama dengan guru dan memberi keutamaan kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Kesimpulannya, amalan gaya kepimpinan transformasional, gaya kepimpinan pengajaran dan gaya pemudah cara oleh pengurus sekolah mampu memberi kesan terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Melalui gaya-gaya kepimpinan ini, pengurus sekolah mendapat kerjasama guru dan pelajar yang terlibat secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran.

7.0 Rumusan

Kepimpinan adalah proses di mana individu mempengaruhi ahli kumpulan lain bagi mencapai matlamat kumpulan atau matlamat organisasi. Pengurusan dan kepimpinan pendidikan yang berkualiti, berwibawa dan berkesan akan dapat menggerakkan anggota-anggota sekolah melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi ke arah mencapai aspirasi dan objektif-objektif yang telah ditentukan. Kajian ini menekankan bahawa kepimpinan sangat mustahak bagi menentukan kejayaan organisasi malah mungkin ia faktor terpenting yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan organisasi. Namun begitu, gaya kepemimpinan pemudah cara yang diamalkan oleh pengurus sekolah hanya memberi kesan yang rendah terhadap tekanan kerja guru dan tidak mempengaruhi keberkesanan organisasi.

Berdasarkan bukti-bukti daripada kajian ini menunjukkan bahawa gaya kepimpinan pengurus sekolah adalah faktor yang membantu perubahan tingkah laku dalam organisasi. Gaya kepimpinan yang positif membantu mewujudkan perubahan yang positif dalam organisasi seterusnya menggalakkan kewujudan organisasi sekolah yang berkesan.

Kaedah kepimpinan situasi oleh Kenneth Blanchard dan Paul Hersey menegaskan bahawa pemimpin mesti menggunakan stail yang berbeza pada situasi yang berbeza. Model ini membenarkan kita sebagai pemimpin menganalisis situasi tertentu dan seterusnya menggunakan stail yang terbaik bersesuaian dengan situasi yang dihadapi. Bergantung kepada kompetensi seseorang pengikut disamping tahap komitmen terhadap tugasnya stail kepimpinan yang diaplikasikan berbeza dari seorang pengikut kepada pengikut yang lain.

Blanchard dan Hersey mengkategorikan stail kepimpinan kepada empat kategori berasaskan kepada tahap arahan dan sokongan yang diberikan oleh pemimpin kepada subordinatnya . Ianya pula mestilah disesuaikan dengan tahap kompetensi dan komitmen pengikut. Empat stail tersebut ialah mengarah, memimpin, menyokong dan mendelegasi.

Andaian asas model kepimpinan situasi ini ialah pemimpin mampu dan sanggup memilih orientasi berasaskan aras kesediaan orientasi pengikut dan dimensi kerja serta hubungan dengan pengikut. Peroses pemilihan stail dalam kepimpinan situasi dimulai dengan pemimpin membuat penilaian yang menyeluruh terhadap subordinatnya. Melihat aras komitmen dan kompetensi terhadap tugasan yang diberi. Pemimpin akan menentukan aras arahan "directive" yang bersesuaian dengan subordinat. Berbincang tentang situasi yang ada dengan subordinat, menetapkan matlamat bersama, memberi sokongan dan seterusnya memantau dan menyelaras pembetulan yang perlu.

Pengurus sekolah mengamalkan stail kepimpinan situasi dalam mengurus dan mentadbir sekolah. Bersesuaian dengan pendekatan kepimpinan situasi Pengurus sekolah mengutamakan sifat kefleksibilan apabila berhadapan dengan subordinat yang berbeza dalam situasi yang berbeza Stail kepimpinan yang utama ialah membimbing, adakalanya menyokong, mengarah dan mendelegasi. Pengurus sekolah sentiasa bersedia dan berani memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada guru-guru di samping mewujudkan hubungan dua hala yang baik. Pengurus sekolah dapati kebaikannya di antara lain ialah arahan tugas adalah jelas, tunjuk ajar yang dilakukan secara berterusan, pendapat guru diambil kira dalam membuat keputusan yang diambil oleh Pengurus sekolah. Stail kepimpinan yang berbeza diamalkan kepada guru yang berbeza. Keadaan ini bergantung kepada faktor komitmen dan tahap kompetensi guru-guru berkenaan. Batasannya ialah ada kalanya rumusan yang Pengurus sekolah dapati dalam menganalisis situasi tidak begitu tepat.























Bibliografi

Chan Yuen Fook. 2004. Kepimpinan Transformasional Dan Inovasi Pendidikan. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-12, Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Hussein Mahmood (1993). Kepimpinan dan keberkesanan sekolah. Kuala Lumpur: DBP.

Ishak bin Din. 2003. Gaya Kepimpinan Transformasi dan Pengajaran. Gaya Manakah Yang Manakah Diperlukan Oleh Pengetua? Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan. Institut Aminudin Baki: 9-10.

Maimunah bt Muda. 2004. Kepemimpinan Situasi Di Kalangan Pengetua Sekolah di Malaysia. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-12, Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia.


Mohd Nor bin Jaafar. 2004. Kepimpinan Pengajaran Guru Besar, Komitmen dan Kepuasan Kerja Guru : Satu Kajian Perbandingan dan Hubungan Antara Sekolah Berkesan dengan Sekolah Kurang Berkesan. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-12, Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia..

Noordin Hj Yahaya, Sharifudin Ismail, PM Dr. Azizi Hj Yahaya. 2004. Tingkah Laku Kepimpinan Pengetua dan Hubungannya Dengan Tekanan Kerja dan Keberkesanan Organisasi, Di Beberapa Buah Sekolah Terpilih Di Negeri Sembilan. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-12, Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Razali bin Mat Zin. 1996. Kepimpinan Dalam Pengurusan. Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Robiah Sidin. 2003. Teori Pentadbiran Pendidikan. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.


Shukri bin Haji Zain. 2004. Komunikasi Kepemimpinan dan Hubungannya Dengan Motivasi. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-12, Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia.

2 comments:

Miss Alin said...

mtk mklumt ni...u siapkn asgmnt..t.kasih.

Miss Alin said...

nk tya...blh xbgtau sy sape y bt kajian ni n thn bila dia bt..